Penafian

Blog ini diwujudkan atas inisiatif peribadi Penulis dan tidak boleh dijadikan sumber rasmi bagi sebarang pemberitaan berkaitan program Kembara Mahkota Johor ini. Pihak Penulis tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang penyalahgunaan maklumat atau bahan yang terdapat di dalam blog ini oleh pihak-pihak lain.

Thursday, August 26, 2010

KMJ tonjol elemen kedaulatan diraja (Utusan Malaysia 26 Ogos 2010)

KMJ tonjol elemen kedaulatan diraja


SULTAN IBRAHIM Almarhum Sultan Iskandar disambut meriah oleh rakyat jelata selepas menamatkan PROGRAM Kembara Mahkota Johor di KULAIJAYA.


PROGRAM Kembara Mahkota Johor (KMJ) Bermotosikal 2010 selamat melabuhkan tirainya di Kota Tinggi baru-baru ini. Sepanjang tiga hari mengembara, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menunggang motosikal berkuasa tinggi dengan jarak 777 kilometer menjelajah enam daerah di negeri Johor iaitu Pontian, Batu Pahat, Muar, Ledang, Mersing dan Kota Tinggi.
KMJ 2010 dianjurkan bagi memenuhi permintaan dan harapan rakyat di enam daerah tersebut yang sebelum ini hanya menyaksikan dari jauh Sultan Johor mengembara menaiki tren pada Jun lalu yang hanya melalui empat daerah iaitu Johor Bahru, Kulaijaya, Kluang dan Segamat.
Program KMJ 2010 ini sudah menjadi jenama yang cukup kuat dan begitu sinonim dengan Sultan Ibrahim kerana program yang dimulakan baginda pada 2001 ini saban tahun telah berkembang dengan pesat sama ada dari sudut jumlah penyertaan, acara dan publisiti.
KMJ 2010 juga menjadi medan terbaik bagi Sultan Ibrahim dan kerabat diraja Johor untuk berdamping dan bermesra dengan rakyat jelata tanpa kekangan protokol yang lazimnya dilaksanakan dalam acara lain melibatkan golongan istana.
Melalui program ini, baginda dapat melihat sendiri pembangunan di seluruh negeri serta mendengar keluhan mahupun pandangan rakyat secara terus dan tidak melalui mana- mana perantara.
Adakalanya permasalahan yang diadukan terus mendapat maklum balas segera baginda dengan menitahkan pihak yang berkaitan memberi bantuan atau mengambil langkah sewajarnya. Atas sebab ini jugalah, Sultan Ibrahim membawa bersama ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan menyertai setiap acara yang dianjurkan.
Selain itu, KMJ 2010 juga menjadi medan terbaik bagi ketua-ketua jabatan negeri mahupun Persekutuan di Johor beramah mesra dan bertukar pandangan berkenaan agensi masing- masing.
Penulis dapat melihat sendiri situasi ini khususnya semasa kembara menggunakan tren yang berlangsung pada Jun lalu apabila semua ketua jabatan dihimpunkan di dalam satu gerabak khas dan mereka dapat menghabiskan banyak masa sepanjang perjalanan dengan berinteraksi dan berkenalan dengan lebih dekat.
Tanpa program sebegini, belum tentu mereka ada kesempatan untuk duduk bersama dari pagi hingga ke malam dalam suasana yang cukup santai dan mesra.
Dalam setiap pertemuan dengan rakyat jelata, Sultan Ibrahim juga tidak kekok untuk bermesra dengan pelbagai lapisan masyarakat sama ada golongan tua atau muda mahupun kanak-kanak. Baginda tidak kekok untuk mengendong bayi, mengusik anak-anak kecil mahupun berseloroh dengan mak cik-mak cik di dapur!
Dalam ketegasan, baginda sebenarnya memiliki sifat humornya tersendiri. Sifat inilah yang menjadikan baginda amat disayangi dan mudah didekati rakyat jelata.
Keterbatasan waktu bukan penghalang bagi baginda merasai dan mencuba pelbagai aktiviti harian yang dilalui oleh rakyatnya. Dalam program KMJ 2010 ini, rakyat dapat bersama-sama baginda bermain sepak raga, bola sepak, berbasikal, mengukur kelapa, memasak, menabur benih padi dan sebagainya.
Yang menariknya, sebahagian daripada aktiviti itu turut disertai isteri baginda, Raja Zarith Sofiah, putera-putera dan puteri baginda yang sentiasa teruja untuk turun padang bertemu rakyat jelata.
Program KMJ 2010 ini juga bukan sahaja menyerlahkan keperibadian unggul dan daya kepimpinan baginda, malah turut memperlihatkan minat serta bakat peribadi baginda. Umum mengetahui bahawa baginda meminati dan memiliki kemahiran dalam dunia pemotoran. Cakap sahaja kenderaan apa, hampir kesemuanya mampu dikemudi baginda, daripada motosikal berkuasa tinggi, helikopter, kapal terbang mahupun bot laju.
KMJ 2010 turut mencatat sejarah peribadi baginda apabila ditauliahkan Lesen Memandu Lokomotif Kelas 26 yang melayakkan baginda memandu kereta api. Pentauliahan ini telah membolehkan baginda menerima sijil pengesahan daripada The Malaysia Book of Records dengan tajuk pengiktirafan The First Sultan to Receive Locomotive Driving Licence Class 26.
Setelah 10 tahun mengembara dalam 13 edisi KMJ, Sultan Ibrahim telah menjelajah hampir seluruh jajahan negeri Johor di daratan, sungai, hutan, laut mahupun pulau. Kembara baginda bukan sekadar berjalan 'makan angin', sebaliknya baginda menyelami, memahami dan mengambil peduli terhadap setiap keluhan pemimpin masyarakat. Baginda bertindak merentasi birokrasi dan protokol demi kesejahteraan rakyat yang dinaungi. Tidak hairanlah KMJ begitu dekat di hati rakyat Johor, malah kehadirannya sentiasa dinantikan.
Keseluruhannya, KMJ telah membina aura dan kemasyhurannya sendiri. Kekuatan namanya bakal dicatat dalam sejarah Johor. Sultan Ibrahim telah menyentak kita terhadap istilah 'Daulat' yang selama ini sering dikaitkan dengan unsur magis dan keluarbiasaan. Daulat sebenar yang ditonjolkan oleh baginda melalui KMJ ini penuh dengan elemen kasih sayang, ambil peduli dan prihatin seorang raja kepada rakyatnya.
Penulis ialah Pegawai Perhubungan Awam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Batu Pahat, Johor

Link URL: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0826&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm

Sunday, June 27, 2010

Hari Ketiga Yang Penuh Bersejarah

Tepat Jam 8.00 pagi, Keretapi KMJ 2010 yang dipandu DYMM Tuanku Sultan Johor mula meluncur meninggalkan Stesen Segamat menuju ke Stesen Gemas yang terletak di dalam jajaahan Negeri Sembilan.

Penulis dan seluruh peserta KMJ 2010 begitu teruja untuk menghadapi Hari Ketiga KMJ ini memandangkan beberapa detik bersejarah bakal dicatatkan.

Detik sejarah pertama adalah; dengan keberangkatan rombongan KMJ ini ke Gemas maka tercatatlah sejarah bagi program Kembara Mahkota Johor ini buat pertama kalinya acara KMJ dilakukan di luar bumi Johor Darul Ta'zim! Belum pernah dalam mana-mana edisi KMJ, DYMM Tuanku merentasi sempadan negeri untuk salah satu aktviti KMJ.
Keretapi KMJ yang dipandu DYMM Sultan Johor tiba di Stesen Gemas

Seperti yang Penulis pernah catatkan dalam posting terdahulu, lokasi Stesen Gemas ini perlu disinggahi kerana di stesen ini terdapat kemudahan Turn Table bagi membolehkan lokomotif dipusingkan 180 darjah. Di Malaysia hanya ada tiga stesen yang memiliki kemudahan ini termasuk Gemas.

Aktiviti "Turning" ini pula merupakan satu aktiviti wajib bagi sesiapa yang ingin memiliki lesen memandu lokomotif dan DYMM Tuanku turut tidak terkecuali dari melakukan aktiviti ini.



Sebaik Berjaya melakukan Turning, DYMM Tuanku kembali ke Stsen Gemas dan telah diberikan tepukan gemuruh oleh rakyat jelata yang berada di stesen.
DYMM Sultan Johor menerima tepukan gemuruh sebaik selesai membuat turning kepala lokomotif di turn table Gemas

Selepas majlis santapan, DYMM Tuanku telah menerima Sijil Kelayakan Memandu Lokomotif yang bernombor siri L 0001. Dengan penerimaan sijil ini maka tercatatlah satu lagi sejarah apabila DYMM Sultan Johor menjadi Sultan Pertama yang memiliki Lesen Memandu Lokomotif.

Dengan itu, DYMM Tuanku telah menerima sijil pengesahan dari pihak The Malaysia Book of Records dengan tajuk pengiktirafan: “The First Sultan to Receive Locomotive Driving Licence Class 26”

Sejarah yang dicatat ini sudah pasti akan menjadi kebanggan seluruh rakyat Johor!

Menjunjung setinggi-tinggi Tahniah Tuanku!



Hari Kedua yang semakin hangat!

Hari kedua bermula dari Stesen Kluang.

Para peserta mula bersarapan di khemah khas berhadapan bangunan stesen. Menariknya, untuk ke khemah tersebut para peserta perlu melompat dan melintasi beberapa rel landasan! jika pada hari biasa sudah pasti situasi seperti ini tidak dibenarkan atas alasan keselamatan.

Kira-kira jam 8.30 pagi keretapi mula meluncur. DYMM meneruskan pemanduan yang cemerlang.

Di atas keretapi, para peserta berpeluang membuat pemeriksaan kesihatan yang dikelolakan pihak PBSM.

Terima kasih kepada Prof. Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin, Naib Canselor UTHM  yang membuat lintasan langsung perkembangan di dalam train dan aktiviti KMJ melalui laman sosial Facebooknya.

Selepas 15 minit, keretapi tiba di Stesen Chamek. Di Chamek DYMM merasmikan Sekolah Agama Chamek serta melancarkan laman web sekolah tersebut yang dibangunkan oleh pihak UTM.

Destinasi seterusnya adalah Stesen Labis. Seperti Stesen lain, di Labis ribuan masyarakat menanti penuh sabar ketibaan DYMM Tuanku dengan keretapinya.20 minit sebelum ketibaan lokomotif Tuanku, ketibaan 2 gerabak lokomotif peninjau telah menggamatkan suasana stesen apabila orang ramai memberikan lambaian dan teriakan kegembiraan dengan menyangka lokomotif tersebutlah yang dinaiki DYMM Tuanku! Situasi sebegini kadangkala perlu juga bagi memeriah dan menyejukkan suasana yang membahang di bawah terik matahari seperti tadi...

Dari Stesen Labis, DYMM Tuanku menaiki motosikal Yamaha klasik diiring lebih 20 motosikal kapcai yang dinaiki persrta rombongan dan pasukan media ke Dewan Orang Ramai Kampung Paya Merah.

Dalam cuaca yang panas terik, DYMM Tuanku tetap ceria melayani rakyat jelata yang sentiasa mengerumuni Tuanku untuk bersalaman mahupun mengambil gambar. Tuanku juga menyaksikan perlawanan futsal dan gasing pangkah.

Setelah makan tengahari, DYMM Tuanku kembali ke stesen dengan menunggang motosikal dan meneruskan pemanduan keretapi ke Stesen Tenang.

Di Tenang DYMM Tuanku sempat meninjau kaedah perubatan alternatif seperti tabib cina.

Seterusnya Keretapi DYMM Tuanku bergerak ke destinasi terakhir untuk hari kedua ini iaitu Stesen Segamat. Sebaik tiba di Stesen Segamat, DYMM Tuanku memandu kereta antik mengelilingi bandar segamat. Turut serta di dalam kereta yang dipandu Tuanku adalah anakanda-anakanda Tuanku iaitu Tengku Temenggong, Tunku Aminah dan Tunku Abu Bakar. Ketua-ketua jabatan yang lain turut dibawa menaiki kereta antik mengiring kereta DYMM Tuanku.

Sebaik tiba di Dataran Segamat, DYMM Tuanku terus bersama-sama masyarakat Segamat dengan pelbagai aktiviti seperti lawatan ke gerai pameran, mengadili pertandingan tarik tali dan sebagainya.

Di sebelah malam, para peserta Kembara diraikan dalam jamuan makan malam di kediaman rasmi Pegawai Daerah Segamat.

Selepas jamuan tersebut, Penulis pergi ke Stesen Keretapi keranan ada urusan yang perlu dibuat di situ. Tanpa disangka, ketika berada di tepi landasan, DYMM Tuanku turun dari koc penginapannya dan bersalaman dengan orang ramai yang berada di situ. Tuanku sempat berbual-bual dengan orang ramai yang bersalam dengannya dan terharu apabila salah seorang dari mereka memberitahu bahawa beliau dan keluarga datang dari Bukit Kepung dan pergi ke stesen tersebut semata-mata dengan harapan dapat menatap DYMM Tuanku. Ketinggian hati budi DYMM Tuanku terserlah apabila dengan rendah diri mengucapkan terima kasih kepada lelaki tersebut kerana sudi datang dari jauh untuk bertemu Tuanku.

DYMM Tuanku sempat melihat salah satu gol dalam perlawanan antara England vs Jerman melalui iPadnya
Dalam sibuk bersalaman dengan orang ramai, DYMM Tuanku sempat melihat paparan perlawanan bolasepak piala dunia di antara England dan Jerman melalui iPadnya.

DYMM Tuanku berjalan ke luar bangunan stesen dan sebaik sahaja melihat terdapat skrin besar sedang menayangkan perlawanan bolasepak antara England dan Jerman di situ, Tuanku terus mengambil keputusan untuk duduk bersama-sama orang ramai untuk menyaksikan perlawanan tersebut. Turut bersama Tuanku adalah YM Tunku Temenggong dan beberapa pegawai Istana.
DYMM Tuanku duduk menyaksikan perlawanan bolasepak di perkarangan Stesen Segamat
Penulis berasa begitu kagum dengan sifat sederhana dan berjiwa rakyat yang ditunjukkan DYMM Tuanku. Tanpa sebarang protokol, DYMM Tuanku mencemar duli duduk di kerusi dan meja yang sama dengan rakyat Tuanku yang lain untuk menyaksikan perlawanan bolasepak secara terbuka di bawah sinaran cahaya bulan! Tiada karpet biru, tiada alas meja biru, tiada air cond dan tiada pengacara majlis! peristiwa ini cukup bersejarah buat Penulis secara peribadi.
Daulat Tuanku!

Saturday, June 26, 2010

Antara coretan pena media yang terawal berkenaan KMJ (26Jun 2010)

Sultan Ibrahim Mahu Kerajaan Pertimbang Ganti Tambak Johor
JOHOR BAHARU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar mahu kerajaan mempertimbangkan rancangan asal pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.
Sultan Ibrahim bertitah, Tambak Johor amat penting kepada rakyat malah institusi kesultanan Johor sejak pemerintahan terdahulu sentiasa memberi sokongan kepada usaha menaik taraf Tambak Johor.
"Jika disingkap sejak dahulu, tidak dinafikan bahawa Tambak Johor adalah amat penting kepada rakyat.
"Berdasarkan kepada kepentingan Tambak Johor kepada rakyat, maka keluarga saya sejak zaman moyang Almarhum Sultan Ibrahim sehingga ayahanda saya, Almarhum Sultan Iskandar sentiasa memberi sokongan kepada usaha menaik taraf Tambak Johor," titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika merasmikan bangunan JB Sentral dan melancarkan Kembara Mahkota Johor 2010, di Dewan Menunggu Penumpang, JB Sentral, di sini, hari ini.
Hadir sama isteri baginda Raja Zarith Sofiah Sultan Idris, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.
Sultan Ibrahim bertitah baginda yakin seluruh rakyat terutama rakyat Johor berasa gembira dengan kejayaan pembinaan bangunan JB Sentral, namun, terdapat kekurangan kerana komponen utama bangunan itu iaitu jambatan, masih belum dilaksanakan.
Baginda bertitah, perasmian bangunan JB Sentral hari ini adalah bersejarah selepas almarhum ayahanda baginda merasmikan Bangunan Sultan Iskandar yang menempatkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, pada 1 Dis 2008.
Titah Sultan Ibrahim, baginda sendiri turut terlibat dalam memberi pandangan sehingga projek pembangunan Bangunan Sultan Iskandar, JB Sentral dan pembinaan jambatan diluluskan pada 2003.
"Apabila kerajaan mengatakan wujudnya masalah untuk mencari tapak yang sesuai dalam kawasan Johor Baharu bagi memindahkan penghuni Flet Lumba Kuda dan Bukit Chagar, maka almarhum ayahanda beta memberi keizinan agar tanah milik kesultanan Johor di Kampung Bakar Batu seluas 27 ekar digunakan secara menyeluruh bagi tujuan penduduk yang terlibat dalam projek tersebut.
"Itulah tanda sokongan pihak istana supaya projek ini dapat diteruskan demi kepentingan rakyat," titah baginda.
Sambil melahirkan penghargaan kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri atas kejayaan membangunkan Bangunan Sultan Iskandar dan JB Sentral, Sultan Ibrahim bertitah baginda berasa bangga kerana bangunan tersebut dibina oleh kontraktor Bumiputera dari negeri ini dan siap mengikut jadual yang ditetapkan.
Baginda berharap lebih banyak projek kerajaan diberikan kepada kontraktor Bumiputera di negeri ini kerana kemampuan mereka terbukti dalam membangunkan projek mega. - BERNAMA

Acara padat di Kluang

Kira-kira pukul 4.30 petang, keretapi yang dipandu DYMM Tuanku selamat tiba di Stesen Kluang. Ketibaan DYMM Tuanku dinanti ribuan penduduk Kluang yang memenuhi kawasan stesen sejak pukul 1 ptg lagi!

Sebaik turun dari keretapi, DYMM Tuanku, ahli keluarga dan rombongan kembara telah melalui laluan "Little India' dengan beberapa pengisian acara.

Setelah kira-kira setengah jam di situ, Tuanku telah memandu sendiri keretanya ke Dataran Kluang utk pelbagai acara lain seperti senamrobik dan lain-lain. Tuanku turut luangkan masa minum petang bersama peserta rombongan kembara dan masyarakat Kluang di wakaf berhadapan tasik di situ. Turut hadir adalah YB Dr. Hou Kok Chung, Ahli Parlimen Kluang yang juga merupakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

6.30 petang, DYMM Tuanku pulang ke Koc penginapannya di Stesen Kluang untuk bersiap untuk majlis makan malam.

8.10 mlm, Tuanku sempat singgah di sebuah kedai serbaneka di stesen Kluang itu dan beramah mesra dengan pemiliknya sebelum memandu sendiri keretanya menuju Kem Mahkota Kluang untuk majlis makan malam.

Jam 10.00 malam Tuanku kembali ke Stesen (Penulis menyambut dan bersalaman dengan Tuanku) walaupun nampak penat tapi senyuman terus mekar terukir dari bibir Tuanku dan menyapa iapa sahaja yang mendekati beliau di Stesen tersebut.

Tanpa protokol Tuanku dengan bersahaja melompat turun ke landasan untuk menaiki koc penginapan yang telah siap dialihkan ke landasan bersebelahan. Ini bagi membolehkan landasan utama digunakan untuk laluan keratapi ke utara atau selatan.

Mungkinkah pada malam ini DYMM Tuanku akan mencemar duli untuk menyaksikan perlawanan bolasepak piala dunia di layar LCD yang telah disediakan di kanopi bersebelahan koc?

kita nantikan...

DYMM Sultan di Renggam


Jam 2.00 petang, keretapi yang dikemudi DYMM Sultan Ibrahim tiba di Stesen Rengam.  Pelbagai acara dilalui Tuanku antaranya melepaskan pertandingan tarik tali, melancarkan tabung kebajikan dan lain-lain.

Yang menarik perhiatian penulis adalah ketika Tuanku menyertai pertandingan berbasikal lambat yang turut diserta YAB Menteri Besar. Dalam pertandingan yang dimenangi Tuanku itu, Tuanku sempat berjenaka dengan aksi “mengejar” Dato’ Ghani sebelum akhirnya Dato MB menyerah kalah.

Basikal yang dinaiki Tuanku ini dilelong dan menerima bidaan tertinggi dengan nilai RM 5000!

Sambutan tetap meriah, rakyat ranggam tak putus-putus mengerumuni setiap aktiviti yang melibatkan DYMM Tuanku.

Jam menunjukkan pukul 4.00 ptg, konvoi mula meninggalkan Rengam, nampaknya masyarakat Rengam begitu berat untuk melepaskan DYMM Tuanku!
 Tengku Temenggung mesra melayani rakyat yang berbilang bangsa

Friday, June 25, 2010

Hentian Pertama: Kampung Pertanian Kulaijaya

Tepat jam 10.35 pagi, keretapi yang dipandu DYMM Sultan Johor selamt tiba di platform khas yang di bina berhampiran Dewam Orang Ramai Kampung Pertanian Kulaijaya.

Sambutan yang diberikan kepada rombongan DYMM Tuanku amat meriah dan hangat sehangat terik mentari yang memancar!

DYMM Tuanku melaksanakan pelbagai acara yang telah disediakan antaranya melepaskan anak-anak ikan, penyerahan rumah pprt, penyerahan bantuan basikal dan sebagainya.

Ternyata peluang mendampingi rakyat sepeti ini digunakan sepenuhnya oleh DYMM Tuanku dan keluarga dengan beramah mesra, berbual, kadangkala Tuanku sempat berseloroh dan bergurau dengan penduduk kampung yang mendampingi beliau.

DYMM Tuanku juga begitu sporting melayani permintaan orang ramai yang ingin mengabadikan gambar bersama beliau denga senyuman yang tak lekang dari bibirnya.

Jam 1.00 ptg, keretapi kembara meluncur meninggalkan platform sementara Kampung Pertanian menuju ke hentian seterusnya iaitu Rengam, Kluang.

Jumpa di sana!

Bangunan JB Sentral dirasmi, KMJ Dilancar

Tepat jam 8.51 pagi, dengan lafaz penuh mulia BismillahirRahmanirRahim, Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor merasmikan Bangunan JB Sentral dan sekaligus melancarkan Kembara Mahkota Johor 2010.

Dalam titahnya, Tuanku mengimbau peranan Istana Johor sejak dari zaman Maharaja Abu Bakar lagi yang komited dalam pembangunan Tambak Johor dan sistem pengangkutan khususnya keretapi di Negeri Johor. Tuanku turut mengenang tarikh 1 Disember 2008 di mana pada tarikh tersebut Almarhum Ayahanda Tuanku, Almarhum Sultan Iskandar telah merasmikan Bangunan Sultan Iskandar yang terletak berhampiran dengan JB Sentral ini.

Sultan Ibrahim turut memaklumkan bahawa keperihatian Istana Johor terhadap pembangunan sistem pengangkutan moden di Johor dizahirkan dengan pengurniaan 27 ekar tanah istana di Bakar Batu untuk dijadikan tapak pemindahan penduduk Flat Bukit Chagar dan Flat Lumba Kuda yang dirobohkan bagi membolehkan Kompleks Sultan Iskandar dan JB Sentral dibina.

Tuanku Sultan turut mengambil kesempatan menitahkan agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pembinaan Jambatan bagi menggantikan Tambak Johor; satu projek yang tertangguh dan masih dinanti-nantikan rakyat Negeri Johor.

Kerjasama dan bantuan yang diberikan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan turut dihargai DYMM Tuanku dan meminta agar rakyat memberi sokongan kepada kerjaaan yang dipimpin YAB Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Selepas selesai upacara perasmian, DYMM Tuanku, YMM Raja Zarith anakanda-anakanda Tuanku, TPM dan dif-dif jemputan turun ke aras 2 untuk majlis santapan / minum pagi.

Penulis mencoretkan catatan ini dari dalam Fortuner yang akan bergerak ke Stesen Kulaijaya.

Saat yang dinanti rakyat Johor telah tiba!

26 Jun 2010.

Tepat jam 8.15 pagi keberangkatan tiba DYMM Sultan Johor di Aras 3, Stesen JB Sentral untuk merasmikan bangunan JB Sentral Dan seterusnya melancarkan KMJ2010.

Padang ketika article ini ditulis, YAB Timbalan Perdana Menteri sedang menyampaikan ucapan.

Sebentar lagi Akan bermulalah satu acara yang sangat dinanti-nanti seluruh rakyat Johor iaitu Kembara Mahkota Johor.

Moga kita semua dilindungi Allah swt.

Dirgahayu DYMM Tuanku Sultan Johor!

Daulat Tuanku!

Taklimat utk ketua-ketua jabatan

Satu taklimat khas untuk ketua-ketua jabatan yang terlibat dengan KMJ 2010 ini telah diadakan di Bilik Gerakan Tun Abdul Razak, Bukit Timbalan Johor Bahru pad a jumaat 25 jun 2010.

Taklimat disampaikan oleh YB Dato Setiausaha Kerajaan Johor, Tn Hj Kamal Hisyam Dan Pegawai Daerah Kulaijaya, Kluang Dan Segamat.

Thursday, June 17, 2010

Tahniah dan syabas kepada Sekretariat KMJ 2010

Sesi Try Run KMJ 2010 berakhir petang tadi.
Sebagai salah seorang peserta, Penulis ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Sekretariat KMJ 2010, khususnya Tuan Kamal Hisyam Haji Ja'far yang memberi kebenaran kepada Penulis dan team UTHM untuk bersama-sama berada di atas keretapi KMJ.

Terima kasih juga diucapkan kepada Tuan Haji Johari, En. Tahir, En. Shukor dan kesemua anggota sekretariat yang telah memberi kerjasama dan layanan terbaik kepada semua peserta rombongan.

Secara peribadi, Penulis begitu kagum dengan kecekapan, ketangkasan dan komitmen  semua ahli seketariat di sepanjang Try Run ini. Anda semua merupakan individu yang hebat dan profesional dan amat layak untuk berkhidmat dalam team DYMM Tuanku.
Mungkin faktor latar belakang kerjaya yang berbeza telah menjadikan team kalian hebat dan mantap.Penulis doakan KMJ 2010 ini berjalan dengan lancar dan jayanya.

Keretapi dan Sejarah

Dua hari yang panjang bersama keretapi KTMB memberi perspektif baru kepada Penulis tentang keretapi di Malaysia.

Penulis bukanlah pakar sejarah, tetapi ketika di bangku sekolah subjek Sejarah agak diminati Penulis. Dalam subjek Sejarah, kita dimaklumkan betapa signifikannya keretapi dengan sejarah pembangunan ekonomi dan sosial di Malaysia. Manakan tidak, keretapi menjadi pengangkutan utama bukan sahaja untuk mengangkut manusia malah sebagai pengangkut utama hasil bumi serta pertanian seperti bijih timah dan getah.

Kesempatan berhenti di stesen-stesen keretapi di Johor telah mengimbau kembali fakta yang diajarkan oleh subjek sejarah berkenaan kepentingan keretapi dalam sejarah dan pembangunan Malaysia.Hampir kesemua pekan atau bandar yang mempunyai hentian/stesen keretapi adalah merupakan penempatan yang lanjut usianya dan kewujudannya dapat dibuktikan dalam peta lama Negara. Sebagai contoh pekan Bekok, Paloh, Chamek dan Tenang, pekan-pekan kecil ini sememangnya tidak terkenal dan jarang dilawati jika kita tiada hajat yang khusus. Namun pekan-pekan ini sebenarnya telah lebih dahulu menempatkan diri mereka dalam peta Malaysia lama / Tanah Melayu hanya kerana pekan-pekan ini mempunyai stesen/hentian keretapi.

Semasa turun berhenti di Stesen Rengam, penulis dapat melihat beberapa deret bangunan lama yang masih tersergam dan masih digunakan bagi tujuan perniagaan. Di bahagian atas bangunan-bangunan ini tercatat tahun ianya dibina. Jelas, bangunan-bangunan ini telah dibina sejak sebelum merdeka lagi.

Di Bekok, Penulis begitu kagum dengan deretan rumah kedai klasik yang masih teguh berdiri. Sebahagian rumah kedai di situ dibuat daripada kayu sepenuhnya. Ada yang telah runtuh dan sebahagiannya masih kekal digunakan.Pekan berdekatan stesen ini kelihatan "mati" kerana tiada tanda-tanda pembangunan baru akan dibina di situ.

Penulis sempat berbual di atas landasan keretapi bersama Ketua Operasi KTMB Wilayah Selatan En Tariq Omar semasa kami berhenti di Stesen Bekok. Beliau menceritakan perihal besi rel landasan yang kami sedang pijak. Penulis ditunjukkan kepada tulisan yang terdapat pada paku yang memasak kayu landasan di situ. Setelah diteliti Penulis mendapati, terdapat ukiran tertulis tahun 1956 pada paku tersebut, dan En Tariq menyatakan bahawa tahun tersebut menunjukkan tahun landasan itu dibina! Malangnya ramai juga "usahawan-usahawan" besi yang menjadikan paku-paku ini sebagai barang dagangan mereka!


Nota: Penulis juga berkesempatan berbicara panjang dengan seorang staf veteran KTMB. Beliau pernah 17 tahun berkhidmat di Stesen Tanjung Pagar Singapura yang pada ketika ini telahpun berpindah milik kepada Singapura!. Insya Allah jika diizinkan, Penulis akan kongsikan cerita dan luahan rasa penuh emosi staf ini apabila berita pedih kehilangan stesen ini menjadi kenyataan baru-baru ini.